Marilah sama-sama kita panjatkan kesyukuran kepada Allah S.W.T kerana masih lagi memelihara nikmat-nikmatNya yang cukup besar yakni nikmat Islam & Iman. Begitu juga dengan nikmat kesihatan & kesejahteraan yang telah dianugerahkan kepada kita semua. Tidak lupa juga salam selamat & sejahtera ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w yang telah berjuang jiwa & raga untuk memastikan Islam itu sampai kepada kita.
Salam Maal Hijrah diucapkan kepada semua. Semoga tahun baru ini akan membawa lebih kejayaan dan kecemerlangan kepada warga Sains Bahan khususnya.
Sukacita dimaklumkan bahawa keputusan peperiksaan Semester I Sesi Akademik 2009-2010 boleh disemak menerusi web di alamat http://www.ukm.my/smpweb dan menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dengan menaip maklumat berikut:
UKM result.nomatrikno ic dan hantar ke 39993
Semakan boleh dibuat mulai 17 Disember 2009. Manakala slip keputusan peperiksaan rasmi boleh diperolehi di Pejabat Dekan Fakulti masing-masing mulai 21 Disember 2009.
Seperti yang semua sedia maklum, 14 November hingga 20 Disember 2009 adalah tarikh bagi cuti semester 1. Ketika semua pelajar UKM termasuk pelajar-pelajar Sains Bahan bercuti dan berehat, tahukah anda bahawa pelajar-pelajar tahun akhir Sains Bahan masih lagi berada di fakulti dan tidak pulang untuk bercuti? Kenapa ini berlaku? Adakah mereka didenda atau tiket bas dan kapal terbang telah habis menyebabkan mereka masih terkandas di UKM?
Jangan bimbang kerana sebenarnya mereka tidak pulang bercuti disebabkan masing-masing perlu menyiapkan kajian-kajian makmal untuk menyempurnakan tesis masing-masing.
Untuk post kali ini, kita akan membincangkan mengenai tesis sebagai panduan untuk adik-adik junior terutama pelajar tahun 2 yang bakal berhadapan dengan tesis pada tahun akhir nanti. (juga bakal tak balik cuti).
Apakah itu tesis? Mengikut kamus dewan, tesis adalah kajian ilmiah bagi mendapatkan ijazah. Dengan kata lain,tesis merupakan tugasan kajian yang perlu dilakukan oleh setiap pelajar untuk memperoleh ijazah. Bagi kursus sains bahan, tesis atau kajian ilmiah terbahagi kepada dua iaitu kajian ilmiah I pada sem 1 dan kajian ilmiah II pada sem 2. Kajian ilmiah I lebih terarah kepada kajian perpustakaan dan proposal manakala kajian ilmiah II pula merupakan penulisan dan penghantaran tesis.
Setiap pelajar akan deberikan satu tajuk dibawah seliaan penyelia masing-masing. Berikut merupakan contoh-contoh tajuk tesis mengikut penyelia:
Dr. Chia - Kenaf sebagai penyerap logam berat
Prof. Sarani - Komposit matriks PE dengan resin phenol formaldehyde
Dr. Azmi - Sintesis filem nipis Kadmium Oksida dengan Kaedah Pemeruwapan Terma
Prof. Muhammad - Superkapasitor dengan menggunakan elektrod Karbon daripada serabut tandan kelapa sawit dengan campuran 28% dan 35% nanotiub Karbon.
Dr. Rozaidi - Kesan Orientasi terhadap sifat-sifat mekanik, terma dan morfologi bagi sindiotaktik polistirena tulen.
Dr. Azman/Dr. Insan - Metalografi: Pencanaian aloi Aluminium
Prof. Sahrim – Komposit epoksi cecair getah asli berpenguat gentian kaca
Dr. Roslinda - Kajian sifat konkrit simen Portland - Boron Karbida menggunakan kaedah ultrasonic
Prof. Razak – Aloi al-co-ni dengan matalurgi serbuk
Pelajar-pelajar hendaklah mematuhi tarikh-tarikh yang telah ditetapkan sepanjang penyediaan tesis ini seperti tarikh penghantaran semakan, tarikh pembentangan proposal, dan tarikh penghantaran manuskrip selain kerap berjumpa dan berbincang dengan penyelia berkenaan kajian masing-masing. Untuk pelajar-pelajar junior, di sini kami sediakan sedikit tips yang berguna sebagai panduan adik-adik nanti:
Sebaik saja memperoleh tajuk, lakukan rujukan berkenaan tajuk yang diperolehi untuk mendapatkan gambaran awal mengenai tesis yang bakal disiapkan. Rujukan boleh dilakukan di internet, perpustakaan atau tesis-tesis pelajar senior. (Pelajar-pelajar boleh mendapatkan tesis pelajar senior di bilik sumber fizik bangunan sains fizik).
Tumpukan kajian kepustakaan dengan mencari maklumat yang berkenaan dengan tajuk sahaja. Elakkan dari memasukkan maklumat yang tidak berkaitan dengan tajuk secara meleret-leret. Markah diambil berdasarkan fakta yang berkaitan dengan tajuk.
Rujukan daripada jurnal hendaklah banyak. Elakkan daripada menggunakan terlalu banyak maklumat dari satu jurnal sahaja. Ini akan menunjukkan anda kurang melakukan kajian kepustakaan.
Pastikan anda benar-benar faham akan kajian yang akan anda lakukan. Ini dapat membantu anda melakukan pembentangan proposal dengan lancar selain memudahkan anda menjawab soalan yang akan diajukan ketika pembentangan nanti.
Pastikan slide pembentangan anda adalah slide pembentangan profesional. Jangan masukkan grafik yang tidak berkenaan dengan tajuk (cth: gambar kartun, bunga, corak2 yg xperlu). Pastikan juga bahasa yang anda gunakan adalah bahasa melayu. Jangan gunakan bahasa rojak. (Cth: menggunakan perkataan ‘the end’ di akhir slide)
Lakukan tempahan bahan kimia awal supaya perancangan kajian anda dapat berjalan lancar dan kajian dapat disiapkan pada masa yang ditetapkan.
Sentiasa mengutamakan keselamatan semasa di makmal
Pastikan anda menulis tesis mengikut FORMAT UKM
Oleh itu, diharap semua dapat memanfaatkan sedikit sebanyak info yang terdapat pada post kali ni. Untuk maklumat lanjut boleh la betanyakan pada lecturer atau senior-senior. Kami sedia membantu setakat yang termampu. Selamat Berjaya diucapkan pada semua pelajar terutama pada pelajar tahun akhir sains bahan yang sedang bertungkus lumus menyiapkan tesis mereka. Buat betul-betul ye kawan-kawan jangan sampai ada yang extend sebab tesis. Harap-harap semua dapat Berjaya dengan cemerlang. Insya-Allah...